Jumaat, 21 Jun 2019

PERJALANAN TERPENTING, PERJALANAN AKHIR

Berteleku seketika muhasabah diri. Memulakan penulisan ini kerana masih terngiang-ngiang ceramah Ustaz Ahmad Dusuki tentang "Perjalanan Terpenting, Perjalanan Akhir". Sebak sehingga menitis airmata mengenangkan diri yang belum cukup persiapan menjelang kematian dan tak mampu nak mengharungi saat sakaratul maut, himpitan kubur, fitnah kubur dan azab di dalam kubur 😢

Allahu...begitu terkesan dengan ceramah Ust Ahmad Dusuki. Kematian itu pasti. Masanya akan tiba. Para ahli kubur jika diberi kesempatan ingin dihidupkan semula untuk beramal kembali sebaik-baik amalan.

Bila menyentuh bab himpitan kubur...betapa dahsyatnya. Sebelum jenazah diturunkan ke liang lahad kita bakal menempuh himpitan kubur. Kita bukan para nabi yang dikecualikan himpitan kubur. Kita hanya manusia biasa tidak terkecuali hatta bayi yang tiada dosa pun melalui himpitan kubur. Gerun sekali sehingga himpitan kubur kedengaran di langit dan bumi. Hanya manusia dan jin yang tidak dapat mendengarnya.

Allahu Akbar...kita yang masih hidup, sudah bersediakah kita menghadapinya? Jawapan yang pasti...tentunya tidak bersedia. Namun, selagi diberi peluang bernafas...beramallah hanya dengan melakukan kebaikan. Ada amalan-amalan persediaan menghadapi kematian. Mudah-mudahan dapat menebus dosa-dosa kita dan meringankan himpitan kubur dan terkecuali menghadapi azab kematian.

Di sini saya kongsikan apa yang telah dikongsikan oleh Ustaz Ahmad Dusuki.

Antara amalan persediaan menghadapi kematian.

*1. Memperbanyakkan membaca Al Quran*

Antara semua amalan kebaikan hanya Al Quran yang dapat membantu kita ketika di alam kubur/alam barzakh. Jangan tinggalkan Al Quran. Bacalah sekurang-kurangnya setiap hari surah Al Ikhlas 3x. Namun, dapat baca surah-surah yang lain lagi besar fadhilatnya.

*2. Memperbanyakkan membaca surah Al Zahrawayn(dua cahaya yang bersinar)*

Iaitu surah Al Baqarah dan Surah Ali Imran, kerana kedua-duanya akan datang pada hari kiamat seakan-akan dua awan besar atau seperti dua kelompok besar dari burung-burung yang akan menjadi hujah(pembela) bagi orang-orang yang sentiasa membacanya. Nak sebut fadhilatnya banyak amalkan surah ni. Surah Al Baqarah mampu menghalang kita dari sihir. Nak dapat keberkatan hidup, keluarga bahagia...amalkan surah ini. Insyallah. Terdapat juga surah terpenting dalam hidup untuk kita HAFAL iaitu AL BAQARAH, AL KAHFI dan AL MULK. Insyallah jika hafal tersemat di dalam hati, kita akan lebih tenang dan bersedia untuk berhadapan dengan Allah.

*3. Melazimi berselawat ke atas Nabi SAW*

Sekurang-kurangnya sehari 1000x berselawat keatas Nabi.
*"Allahumma Solli Ala Saidina Muhammad waala Ali Saidina Muhammad".*

*4. Melazimi membaca surah Al Mulk setiap hari.*

Surah ini 30 ayat. Baca sebelum tidur. Selesai baca tidak lagi memikirkan urusan dunia. Jika ditakdirkan mati pada malam tersebut. Orang yang membacanya akan selamat daripada fitnah kubur.

*5. Melazimi membaca Ayatul Kursi setelah selesai solat Fardhu.*

InsyaAllah, bakal masuk syurga jika mengamalkannya.

*6. Memperbanyakkan membaca Sayyidul Istighfar(Penghulu Istighfar).*

Amalan zikir Rasulullah yang di baca setiap pagi dan petang iaitu Sayyidul Istighfar yang dijanjikan syurga kepada sesiapa yang membacanya.

*7. Sentiasa beristighfar dan bertaubat kepada Allah.*

Pintu taubatNya sentiasa terbuka buat kita, hanya menunggu kedatangan hambaNya yang mahu kembali kepada jalan agama yang diredhai.

*"Astaghfirullahal’adzim"*
(Aku memohon keampunan, ampunilah aku Ya Allah Yang Maha Agong)

*8. Memperbanyakkan bersedekah dan berwakaf.*

Sedekah tidak akan mengurangi harta. Bahkan Allah menambahkan kemuliaan dan Allah angkat darjat bagi orang-orang yang bersedekah.

*9. Melazimi membaca doa Nabi Yunus a.s.*

Doa yang menunjukkan nama Allah yang paling agung. Iaitu doa nabi Yunus,
*"La Ilaha illa anta, subhanaka inni kuntu minazzholimin."*
(Tiada tuhan melainkan Engkau, Maha Suci Engkau. Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang zalim)

*10. Mengamalkan solat sunat Dhuha setiap hari.*

Amalan solat Dhuha ini dapat menghapuskan dosa-dosa yang terdahulu.

*11. Menghidupkan akhir malam dengan solat sunat Tahajjud.*

Selalulah melakukan solat malam, kerana solat malam adalah kebiasaan orang-orang soleh, mendekatkan diri kepada Allah serta menghalangi daripada dosa, menghapus kesalahan dan menolak penyakit dari badan.

*12. Menghadiri majlis ilmu yang merupakan taman syurga dunia.*

InsyaAllah besar ganjarannya. Mendalat ketenangan dan rahmat, dipermudahkan jalan menuju syurga, diberikan ganjaran pahala.

*13. Menziarahi kubur*

Mengingati mati...seorang insan akan bertambah zuhud di dunia dan bertambah senang untuk beramal soleh serta meraih ketakwaan.

*14. Bagi golongan yang berusia 60 tahun ke atas, dianjurkan membaca serta mengamalkan doa ini:*

"Subhanakallahumma wabihamdika, astaghfiruka waatubuilaik".
(Maha suci Engkau, Tuhan kami dan segala pujian bagiMu ya Allah, ampunilah kami)

Semua amalan di atas, para ahli kubur ingin lakukan bersungguh-sungguh jika diberi peluang. Mustahil untuk kembali hidup...ambil ibrah nya kita yang masih hidup beramallah.

Semoga sedikit perkongsian daripada penulisan saya ini memberi manfaat kepada semua sahabat-sahabat yang membacanya. Sebarkan agar lebih ramai lagi tahu dan beramal.

Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah saw bersabda: "Apabila anak Adam meninggal dunia, maka terputuslah amalannya melainkan tiga perkara: Sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakannya."(Riwayat Muslim)

"Orang cerdas itu adalah mereka yang ingat mati dan mempersiapkan bekalnya."(HR Bukhari)

Ilmu ini dipetik daripada ceramah Ustaz Ahmad Dusuki bin Abd Rani dan buku Persiapan Menjelang Kematian.

Wallahualam...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan